+ -

Laman

Mehmet Najmi

Mehmet Najmi

24/08/2014

Kita Juga Pernah Remaja



Dahulu jika tempat ini asing, sekarang ianya sudah menjadi kebiasaan.
Sungguh cepat segalanya berubah.

Terkenang kembali semalam yang hilang, memorinya semakin pudar.

Hari ini aku berada di Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA 2) bersebelahan dengan KLIA yang pertama,
menunggu tibanya giliran untuk menaiki pesawat atas urusan yang perlu diselesaikan.

Tidak sangka, dahulu ketika aku kecil aku hanya mampu membayangkan tentang bagaimana perasaan menaiki pesawat dan berada di langit biru.

Kini, ianya seperti perkara biasa dan perasaannya sama sahaja seperti menaiki bas.
Tiada bezanya, cuma kali ini tiketnya lebih mahal.

Aku masih teringat suatu ketika dahulu, perjalanan aku daripada satu tempat ke tempat yang lain kebanyakkan menggunakan bas.

Namun sekarang, aku telah pergi jauh daripada zaman itu.

Begitulah bagaimana jauhnya aku dan masa lalu sudah terpisah.

Aku melihat anak remaja kita bukan lagi seperti dahulu.

Semuanya digital dan tiada langsung pengalaman yang luar biasa.

Dahulu jika kita bermain bola, mendaki gunung, atau berenang perasaannya berbeza.
Ketika itu, kita fokuskan pada nikmat untuk diri sendiri.

Kini, semuanya jadi kurang menyeronokkan kerana apa yang kita lakukan mesti dengan gambar dan status di laman sosial untuk menyatakan bahawa kita telah melakukannya.

Jika tiada status atau gambar yang diupload makan persepsi ramai bahawa hidup kita adalah biasa-biasa sahaja.

Itulah bezanya, jika dahulu kita mengambil gambar sebagai kenang-kenangan sekarang semuanya tentang keinginan untuk memuat naik ke laman sosial.

Begitulah kehidupan kini, lebih kepada keinginan untuk memberitahu berbanding perasaan untuk menikmatinya.


Teringatkan zaman remaja dulu, semuanya penuh dengan kegilaan tentang cara untuk mengekspresikan perasaan.

Zaman remaja yang berlalu, zaman untuk mengenal siapa diri dan masih mencari-cari.

Penuh dengan kegembiraan.
Berbeza dengan situasi sekarang, penuh dengan tanggungjawab yang perlu diambil kira.

Aku takut juga melihat remaja sekarang, cabarannya semakin hebat.
Jika salah jalan maka sesatlah mereka dalam kebingungan.

Era urbanisasi ini, dunia memang tanpa sempadan.
Mereka terdedah kepada segala macam ancaman.

Aku sebagai seorang yang sudah dewasa,
hanya mampu berdoa dan menasihati kerana semuanya terletak di tangan mereka sendiri.

Cerita tentang zaman remaja, semuanya manis belaka.

Memang jika cerita berulang kali, perasaan gembira itu tetap ada.
Dicelah mana pun ia terselit, tetap ada cebisan kegembiraan  yang masih terkesan.

Zaman remaja memang tidak dapat dilupa.

Walaupun kini kita sudah dewasa,
namun kita mesti ingat bahawa:

"Kita juga pernah remaja!"
5 Gregat: August 2014 Dahulu jika tempat ini asing, sekarang ianya sudah menjadi kebiasaan. Sungguh cepat segalanya berubah. Terkenang kembali semalam yang h...

18/08/2014

Nilai Seorang Mahasiswa



Ketika masih lagi dalam zaman pengajian ini antara soalan yang harus kita tanya kepada diri sendiri,
"Dengan ijazah sarjana muda yang akan diperolehi apakah yang dapat dapat aku sumbangkan kepada dunia?"

Dunia yang dimaksudkan bukannya dalam peringkat yang global atau yang setara dengan itu,
namun dunia yang dimaksudkan adalah persekitaran yang kini kita berada di dalamnya.

"Ya, kita orang muda masih ada banyak masa untuk memikirkan semua ini."
Itulah pemikiran yang akan memusnahkan kita.

"Ya, masih terlalu awal untuk membayangkan tentang semua ini dan kita seharusnya meluangkan masa bersama kawan-kawan untuk berseronok."
Inilah pemikiran yang akan menjadikan kita menyesal di hari tua.

Perlu kita ingat bahawa, masa yang berlalu begitu sahaja tidak akan kembali.
Mungkin ayat ini sering didengar.

Tetapi jika kita teliti dengan lebih terperinci, maksudnya memang terkesan.

Cuba kita bayangkan apa yang telah kita lakukan semalam.
Fikirkan tentang sesuatu aktiviti yang kita tidak memperolehi kebaikaan daripadanya.

Setelah difikirkan, cuba kita imbas kembali dalam seminggu berapa kali masa yang terbuang begitu sahaja.

Bayangkanlah jika kita menggunakan masa yang terbuang itu dengan sesuatu usaha yang akan menjadikan diri ini seorang yang berjaya dan terkenal.

Sebagai contoh, kita membayangkan bahawa  menggunakan masa yang berlalu itu dengan membuat perniagaan kecil-kecilan.

Sudah pasti sekurang-kurangnya anda memperoleh wang atau pendapatan untuk anda melakukan sesuatu yang menarik seperti melancong dan membeli gajet terkini/

Beginilah pemikiran sebenar yang mahasiswa patut miliki.

Mungkin ini daripada sudut yang kecil, namun sekurang-kurangnya  ini dapat menunjukkan bahawa pemikiran kita adalah luar daripada pemikiran biasa.

Dalam mencipta kejayaan, perkara yang paling utama adalah meletakkan jiwa kita dalam usahanya.

Apabila ada jiwa dalam usaha, maka akan ada perjuangan.

Mereka yang berjaya dalam sesuatu bidang kerana mereka meletakkan jiwa dan minat mereka dalam bidang tersebut.

Berbalik tentang soal siapa kita sebagai mahasiswa, kita juga boleh bertanya kepada diri kita
"Selama ini, adakah aku telah belajar sesuatu daripada kesusahan yang aku tempuhi?"

Ini adalah persoalan yang paling penting untuk menilai sejauh mana keberhasilan pengajian kita.

Ketika berada di universiti, pelbagai ilmu boleh diperolehi dan semuanya bergantung kepada diri sendiri untuk memilih cabang yang mana ingin dikuasai.

Kita sering mengeluh tentang sukarnya dalam menempuh pengajian di universiti,
namun di akhir-akhir ini saya sedari bahawa melalui kesusahan inilah yang telah mematangkan manusia.

Seperti berlian, proses menjadikannya adalah sangat rumit dan memerlukan tekanan yang sangat tinggi begitulah juga kematangan dalam pemikiran.

Kehidupan yang sukar sebenarnya bukan suatu nasib malang,
tetapi itu adalah peluang untuk kita menguji kesabaran dan kesungguhan dalam mencipta kejayaan.

Soalan yang sering juga saya persoalkan kepada diri sendiri ialah,
"Dengan sijil yang diperolehi nanti, apakah yang aku lakukan untuk menunjukkan aku adalah berbeza berbanding dengan mereka yang lain?"

Ramai yang mempertikaikan apa bezanya mereka yang bergraduasi dengan ijazah pengurusan perniagaan berbanding mereka yang langsung tidak memiliki kelulusan tersebut?

Mereka berpendapat bahawa, perbezaan tersebut adalah daripada segi kelulusannya sahaja namun daripada segi kejayaan itu terletak pada usaha masing-masing.

Cabaran ini sering kita lihat dalam bidang perniagaan di mana mereka yang tidak mempunyai kelulusan lebih berjaya berbanding daripada lulusan universiti.

Melalui sudut ini boleh dilihat bahawa ramai telah gagal dalam menguasai ilmunya kerana hanya mampu mempelajari teori dan gagal dalam mempraktikannya  di dalam dunia yang sebenar.

Pemikiran mereka yang mempunyai kelulusan daripada universiti juga adalah lebih kepada makan gaji.

Mereka takut untuk menanggung risiko dalam melakukan sesuatu yang luar biasa

Selagi mereka takut untuk mencuba selagi itu mereka gagal dalam membuktikan mereka adalah berbeza.

Namun kita juga harus ingat bahawa, kejayaan tidak akan datang tanpa tindakan.

Jika betul kita adalah mahasiswa, maka berfikirlah luar daripada kotak.

Lakukan sesuatu yang luar biasa!

5 Gregat: August 2014 Ketika masih lagi dalam zaman pengajian ini antara soalan yang harus kita tanya kepada diri sendiri, "Dengan ijazah sarjana muda yang...
< >