+ -

Laman

Mehmet Najmi

Mehmet Najmi

16/06/2014

Perbandingan




Hidup dalam perbandingan.
Tiada ketenangan hanya penyeksaan.

Ramai manusia gagal kerana hidupnya dibandingkan dengan orang lain.
Perbandingan yang tidak seimbang, memakan diri merosakkan hati.

Sejak kecil kita diajar tentang membandingkan sesuatu yang buruk dengan sesuatu yang lebih baik.
Perbandingan adakalanya baik, adalakalanya buruk.

Jika kita ambil yang baik, maka berjayalah kita.
Jika kita ambil yang buruk, maka meranalah jiwa.

Baiknya,
tentang perbandingan apabila kita belajar daripada sesuatu yang lebih baik dan memperbaiki diri ke arahnya.

Buruknya,
tentang perbandingan apabila kita mula memikirkan mana yang lebih baik dan ego untuk menerima perbezaan.

Ramai yang gagal apabila mereka ingin menjadi semua yang mereka nampak lebih baik.
Mereka terus melakukan perubahan supaya menjadi lebih baik namun sebenarnya tidak.

Proses perubahan diri ke arah lebih baik seharusnya di lakukan secara berperingkat dan mengambil tempoh yang agak panjang supaya perubahan benar-benar berkesan.

Namun dalam melakukan perubahan juga, kita seharusnya tidak lupa tentang siapa diri kita yang sebenar.

Masalah akan muncul apabila perbandingan dilakukan dengan tujuan yang tidak sihat.

Kita membandingkan siapa yang lebih hebat dengan niat untuk menjatuhkan orang lain.

Memang daripada satu sudut ianya membentuk semangat persaingan,
tetapi jikalau disertai dengan perasaan ego dan enggan menerima kelemahan diri maka akhirnya keburukan yang dicari.

Kita sering lupa bahawa, tidak semua orang sama.
Jika semuanya sama, maka tiadalah kepelbagaian di dunia.

Apabila kita banyak membandingkan diri kita dengan orang lain.
Sebenarnya kita sudah lupa tentang asas diri kita yang sebenar.

Banyak faktor yang mempengaruhi asas pembentukan diri seseorang manusia.
Sebagai contoh, latar belakang keluarga, tempat tinggal, rakan sekeliling dan taraf pendidikan.

Kesemua faktor ini sangat memmpengaruhi pemikiran dan tingkah laku manusia.
Jadi adalah salah jika kita mengubah diri tanpa mengenali identiti sendiri.

Perbandingan sering berlaku di dalam zaman teknologi kini.
Wujudnya pelbagai media sosial pada hari ini membuatkan kita menilai tentang siapa orang lain.

Sebagai contoh, di laman Facebook.
Facebook kini bukan sekadar tempat untuk kita berhubung, tetapi lebih menjadi media untuk manusia mengadu dan menunjukkan sesuatu.

Aliran yang kelihatan sekarang adalah kebanyakkan daripada kita akan cuba untuk menunjukkan kesemua perakra yang berlaku dalam hidup mereka.
Pelbagai topik daripada makanan kepada pelancongan, daripada perhubungan kepada kecantikan.

Namun sedarkah kita, semakin banyak kita mengetahui tentang sesuatu perkara semakin banyak kita menilai tentang persamaan kita dengan orang lain.

Mula-mula mungkin tidak memberi kesan yang jelas namun semakin lama jiwa manusia akan menjadi semakin sakit.

Perbandingan juga gagal dalam meyakinkan kita bahawa setiap manusia tidak sama, dan masing-masing punyai kelebihan.

Manusia adalah tidak sama, ada yang kaya ada yang bersederhana, ada yang cantik ada yang biasa-biasa sahaja, ada yang garang ada yang baik hati dan pelbagai lagi sifat yang saling berlawanan.

Perbandingan yang negatif berlaku apabila kita mula merasa rendah diri.
Kita merasa diri adalah serba kekurangan berbanding orang lain.

Jika ini yang berlaku, maka gagallah kita dalam membandingkan diri dengan orang lain.

Kita kena ingat bahawa jika inginkan perbandingan yang adil, maka carilah mereka yang dilahirkan bersama dengan kita, dalam persekitaran yang sama dan membesar dengan cara yang betul-betul sama.

Adakah anda dapat mencari seorang seperti itu?

Tidak ada bukan?

Jadi janganlah hidup dalam perbandingan kerana kita semuanya adalah berbeza tiada satu pun yang sama.
Sedangkan kembar yang seiras juga mempunyai cap jari yang berbeza.

Kita kena ingat kepada bahawa terdapat empat perkara yang sudah ditentukan ketika kita lahir di dunia iaitu:

-Rezeki
-Jodoh
-Ajal
-Umur

Jadi daripada sini kita boleh lihat bahawa tiada apa yang perlu dibandingkan dalam hidup.
Anggaplah perbandingan ini sebagai satu cara untuk menilai prestasi kehidupan kita.

Cuma perlu ingat supaya kita tidak berlebih-lebih dalam membanding kerana ianya akan memakan diri.

Ingatlah bahawa  tiada siapa yang mempunyai kelebihan tanpa memiliki kelemahan,
kita adalah berbeza kerana itu manusia semuanya istimewa.

: )
5 Gregat: June 2014 Hidup dalam perbandingan. Tiada ketenangan hanya penyeksaan. Ramai manusia gagal kerana hidupnya dibandingkan dengan orang lain. Pe...

06/06/2014

PJJ



Malam yang penuh dengan penantian.
Dilihat pada telefon bimbit, waktu  baru sahaja jam 10 malam.

"Takpelah mungkin dia sibuk, mentelaah pelajaran. Lebih baik tunggu sahaja sehingga jam 12. Kejap lagi pasti akan berbunyi telefon ini."

Dalam kehidupan manusia, perkara yang membuat kesabaran kita tercabar adalah penantian.
Apabila kita menantikan sesuatu, pasti dalam masa yang sama harapan juga akan tercipta.

Kedua-duanya memang tidak dapat diasingkan dan perasaan yang paling manis lahir apabila harapan dan penantian dibalas dengan jawapan yang positif.

Entahlah, sejak akhir-akhir ini banyak hal sudah terjadi.
Tidak tahu mana puncanya.

Aku tenung kembali garis masa tentang hubungan kami.

Memang banyak kenangan manisnya.
Namun semenjak aku menceritakan pelbagai cerita tentang aku, segalanya berubah.

Mungkin dia dah bosan dengan aku.
Mungkin juga dia dah nampak kelemahan aku.

Semakin banyak yang difikirkan, semakin berceramuk pemikiran waras aku.

Aku tidak gemar apabila otak ini mula berfikir.
Terlampau dalam dan pelbagai, dan sukar untuk hentikannya.

Kadangkala akibat terlampau berfikir.
Aku sudah mula didatangani oleh hasutan dan bisikan yang entah datang daripada mana.

Kadangkala aku sendiri tidak pasti dengan siapa aku berkata-kata.

"Hurm.."
Kelapangan masa membuatkan aku banyak berfikir tentang dia.

Jika difikirkan tentang perwatakannya, aku lebih gemar dia yang dahulu.
Berfikiran positif, selalu tersenyum dan sering kali menyokong aku walau apa pun yang aku lakukan.

Namun, dia kini sudah jadi sebaliknya.
Mungkin pemikiran aku yang terlampau negatif ini sudah mula meracuni perwatakannya.

Sedih juga, apabila keadaan jadi begini.

Aku mula merasa kesunyian kembali.
Kalaulah dia tahu apa yang bermain difikiran aku.

"Argh, kenapa waktu bergerak lambat? Ke manakah si dia ini? Katanya ingin ditelefon aku malam ini?"

Mungkin ideologi pemikiran kami agak berbeza.
Namun bagi aku dia sudah menjadi sebahagian daripada diri aku.

Setiap kali aku bangun pagi, pasti aku akan mencapai telefon bimbit untuk melihat jika dia ada menghantar mesej selamat pagi.

Namun sejak akhir-akhir ini tiada lagi ucapan selamat pagi, atau selamat malam.

Entahlah.

Tiba-tiba lamunan aku terhenti kerana nada dering telefon yang berbunyi. Mesej baru sudah sampai.
Mesti daripada dia.

Sekali lagi, aku hampa. Rupanya sekadar mesej daripada celcom berkenaan iklan daripada mereka.

Sekali lagi, aku tenangkan hati aku dengan berkata, "Mungkin dia sibuk, kejap lagi dia telefonlah tu."

Dia ingat lagi ke pada aku ini? Dia sudah rasakan aku tidak berguna? Atau dia sudah ada orang lain?

Itu adalah antara persoalan yang sering timbul daripada aku. Sekali lagi. "Entahlah."

Aku seorang yang berpegang kepada sejarah.
Bagi aku sejarah mengajar manusia tentang kesilapan yang lalu.

Melalui sejarah kita dapat bermuhasabah dan memperbaiki diri.

Jika diikutkan tentang permulaan hubungan aku dengan dia, aku sendiri tidak pasti siapa yang mulakan.
Namun yang aku pasti pada permulaanya aku tidak inginkan hubungan kami berdua menjadi seperti ini.

Itulah orang kata" Cinta ini ibarat gunung berapi, permulaanya penuh dengan percikan kebahagian dan akhirnya hanya tinggal perasaan hampa yang mengeras seperti lava."

Sewaktu kami mula berhubung, semuanya melalui laman sosial.
Kemudian, ianya beralih kepada mesej di telefon bimbit.

Jika ikutkan hati ketika itu aku langsung tidak mempunyai keinginan untuk menerima sesiapa lagi.
Namun, aku nampak dia ini sedikit berbeza.

Ketika itu dia tunjukkan bahawa dia sangat serasi dengan aku.
Dia sangat menerima apa yang aku katakan. Tentang falsafah hidup, pandangan politik, atau apa sahaja.

Dia juga dapat meyakinkan aku bahawa dia sentiasa ada walau apa pun yang terjadi.
Ketika itulah juga dia bertanyakan aku tentang perhubungan yang lebih akrab.

Setiap kali kami keluar bersama, aku tidak pernah rasa penat untuk bercerita.
Apabila aku keluar bersama dia, masa seperti berlalu seperti pantas, kalau boleh aku tahan masa sudah lama aku buat.

Bagi orang seperti aku yang dahagakan perasaan cinta, dia sudah berjaya memikat aku.
Ya, memang dia masih berjaya sehingga ke saat ini.

Itu sebabnya, aku selalu menantikan untuk dia menghubungi aku.

Aku kalau boleh, enggan menggangu waktunya dikala ini.
Namun, rindu akan suaranya lebih menguasai diri.

Kadang-kala aku terasa seperti diperguna.
Perlu apabila dia kesunyian, dilupakan apabila dia merasakan keseronokan.

Sekarang, aku hanya akan dihubungi apabila dia sedang bercuti apabila tiada kawan-kawannya disisi.

Rasa bertepuk sebelah tangan pun ada juga.
Entahlah, semakin banyak yang aku fikirkan.

Semakin banyak, perasaan hampa dalam diri wujud.

Nampaknya, pemikiran negatif aku sudah mengawal diri.
Aku rasa lebih elok dilelapkan masa ketika, untuk aku tenangkan diri daripada kabus kemurungan ini.

Mungkin dia akan menelefon aku lewat malam nanti.
Tidak mengapa kalau lewat bagaimana sekali pun, aku pasti akan menanti.

Aku harapakan dia elok sahaja di sana.
Mungkin dia ada sesuatu yang harus dilakukan.

Entahlah.
Mungkin ini nasib yang akan menimpa untuk orang seperti aku ini.

Bermain dengan pemikiran sendiri.

Apabila berkasih rasanya bersendiri, apabila tiada yang menerima rasa sepi di hati.

Harap-harap dia fahamlah suatu hari nanti, susah untuk menjadi orang gila seperti aku ini.
Mengambil transkripsi ubat setiap hari, supaya dapat mengawal diri.
Tidak lupa juga bermonolog dalaman tanpa henti, daripada siang sampai ke malam hari.

Kesemua ini takkan terjadi jika dia ada di sini dan bukannya sekadar Perhubungan Jarak Jauh (PJJ) seperti ini.
5 Gregat: June 2014 Malam yang penuh dengan penantian. Dilihat pada telefon bimbit, waktu  baru sahaja jam 10 malam. "Takpelah mungkin dia sibuk, ment...
< >